About Us

Appalasuwami lebih dikenali sebagai Dato’ P.S Samy berasal dari Kampung Kelawar Tanjung Malim, Perak. Beliau telah dilahirkan pada 18 Sept 1956. Asal usul beliau adalah dari sebuah kampung yang kecil dengan kerjaya sebagai seorang penoreh getah.

Pada tahun 1980, beliau bekerja di bawah adiknya Dato’ Ramnaidu sebagai seorang pembantu Sekolah Memandu Behrang Stesen, Perak. Setelah bekerja selama 4 tahun, adiknya telah membantu beliau untuk mendapatkan sebuah cawangan di kawasan Hulu bernam atas nama syarikat ‘Sekolah Memandu Hulu Selangor’. Beliau telah mengusahakan cawangan barunya selama tiga tahun dan berpindah ke pekan Kuala Kubu Bharu (KKB) pada tahun 1987. Sambutan pelanggan yang agak memberangsangkan menyebabkan perniagaan beliau semakin berkembang. Pertambahan bilangan calon yang ramai telah menimbulkan kesukaran kepada Dato P.S Samy kerana semua pelanggan ini perlu dibawa ke daerah Petaling Jaya untuk menduduki ujian Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Hal ini telah mendorong beliau memohon tanah sebanyak 5 ekar di daerah Kuala Kubu Bharu pada tahun 1990.

Pelbagai usaha dan rayuan permohonan dibuat oleh Dato P.S Samy dan akhirnya beliau mendapat perhatian daripada bekas Menteri Besar Selangor ‘Tan Sri Muhammad bin Haji Muhammad Taib’. Akhirnya, melalui penjelasan yang baik bersama dengan kertas kerja yang teratur maka berjayalah Dato P.S Samy mendapatkan tanah seluas 5 ekar atas bantuan dan jasa baik menteri besar Selangor.

 

Semangat dan keazaman yang kuat di hati beliau telah mendorong Dato P.S Samy untuk membuka sebuah litar belajar dan ujian memandu JPJ di Kuala Kubu Bharu. Pada tahun 1996, beliau telah berjaya membentuk sebuah adilkap motorsikal dan litar kereta untuk tujuan belajar dan ujian JPJ. Hasil Semangat dan kesungguhan yang berterusan selama 16 tahun,maka berjayalah beliau menaikkan taraf Sekolah Memandu Hulu Selangor’ kepada sebuah Institut Memandu Akademi P.S Samy Sdn Bhd iaitu institut memandu pertama di negeri Selangor pada tahun 1998.

 

Kini, Akademi P.S Samy Sdn Bhd telah menjadi sebuah litar yang canggih dengan keluasan 10 ekar dan serba lengkap dengan segala kemudahan pelesenan pemandu. Seramai 55 pengajar dan 30 pembantu tadbir bertugas di Akademi ini. Syarikat Akademi P.S Samy Sdn Bhd juga telah menyediakan sebanyak 18 pusat pendaftaran calon (PPC) di seluruh daerah Hulu Selangor dan Gombak.